BAB1 Julia benci memandu di Kuala Lumpur. Banyak kali dia diberitahu bahawa pemandu-pemandu di Kuala Lumpur adalah di antara pemandu-pemandu yang paling kurang ajar di Malaysia (selain dari Pulau Pinang. Tetapi Julia tidak pernah memandu di sana, jadi dia tidak boleh mengesahkan hal ini). Setiap kali dia memandu, ada sahaja kereta yang akan membunyikan hon kepadanya ataupun memarahi kerana memandu di bawah had laju yang ditetapkan
Sebuah kereta Honda City bewarna hitam memotong keretanya untuk cepat-cepat masuk ke dalam lorong Touch & Go di Plaza Tol Sunway. Julia hanya mampu berdecit. Dia memandang ke arah jam di dalam kereta pacuan empat roda Toyota Rav4 Turbonya. Dia tidak mahu terlambat ke tutorialnya lagi. Tetapi di hadapannya terdapat beratus-ratus buah kereta yang bergerak perlahan. Sesak. Masing-masing bergegas ke tempat kerja atau seperti dirinya yang sedang bergegas ke Universiti Monash, tempat dia belajar sejak dua tahun yang lepas.
Julia menggigit bibirnya. Dia menjengahkan lehernya untuk melihat wajahnya di muka cermin di hadapannya. Dia memandang ke arah bibirnya. Kemudian dia cepat-cepat mengeluarkan gincunya dari dalam beg tangannya lalu mengenakan gincunya. Belum sempat dia dapat mengenakan gincunya, dia dapat mendengar bunyi hon di belakang keretanya. Julia mengeluh. Dia menggerakkan keretanya ke hadapan.
Julia adalah satu-satunya anak kepada Dr. Shahri, seorang duda beranak satu yang telah berpisah dengan bekas isterinya sejak tujuh tahun yang lepas. Doktor Sahri mempunyai kliniknya sendiri di Subang Jaya dan kini menetap bersama anaknya Julia yang masih lagi berusia 20 tahun di sebuah banglo di Bandar Kinrara. Sejak berpisah dengan isterinya Wati, Shahri menjaga Julia seperti menatang minyak yang penuh. Apa-apa sahaja permintaan Julia akan diturutinya. Shahri tidak pernah meragui cabaran serta dugaan menjaga seorang anak perempuan. Tetapi dia tetap mencuba sedaya upaya untuk menjaga Julia dengan sebaik-baiknya. Dia mahu membuktikan kepada Wati bahawa dia juga mampu menjaga Julia dan mendidiknya untuk menjadi seorang manusia yang terpuji kelakuannya. Bukan sepertinya, yang dianggapnya seorang wanita jalang yang tidak bermaruah kerana telah curang kepadanya satu ketika dahulu...
Julia tercungap-cungap masuk ke dalam kelas tutorialnya. Dia memandang ke arah jam tangannya. Dia tidak terlambat. Dia melepaskan nafasnya apabila dia mendapati pensyarahnya baru sahaja masuk ke dalam kelas tutorial dengan kertas peperiksaan.
Julia memandang ke arah Daniel Tan yang sedang duduk di barisan paling hadapan yang sedang menoleh ke arahnya. Daniel menjeling. Julia membeliakkan matanya untuk memintanya agar jangan menoleh ke arahnya lagi.
Julia menarik nafasnya. Dia memandang ke arah Ariffin, yang sedang duduk di hadapannya. Dia mendapati Ariffin hanya memandang ke arah hujung pensilnya. Kemudian dia menggigit hujung pensilnya itu. Sandra, gadis kelahiran Jakarta yang sedang duduk di sebelah kiri Ariffin sedang termenung memandang ke arahnya. Sandra sedang termenung memikirkan jika Samuel Rizal tidak dapat berlakon di dalam sambungan filem Eiffel I’m in Love, mungkin Ariffin dapat mengambil alih untuk melakonkan wataknya itu. Wajah Ariffin yang nakal itu cukup sesuai untuk watak tersebut, fikirnya
Julia tahu Sandra dan entah berapa puluh lagi gadis seuniversitinya yang telah jatuh hati kepada Ariffin. Tetapi Ariffin tidak pernah mahu ambil tahu tentang itu semua. Dia pastinya tidak mahu mengambil tahu jika terdapat tulisan “Ariffin is so cute!” di dalam tandas perempuan tingkat 3 di universitinya...
Ariffin mempunyai wajah yang manis. Dia mempunyai ketinggian mencecah enam kaki dengan susuk tubuh yang tegap dengan kulit sawo matang yang nampak bersih dan terjaga. Apa yang membuat beberapa gadis di universitinya tertarik kepadanya adalah matanya yang tajam bak burung helang dan senyumannya yang mampu membuatkan hati dan jiwa mereka cair. Untuk seorang anak muda yang baru mencecah usia 20 tahun, Ariffin mempunyai wajah yang matang seperti seorang pemuda berusia pertengahan umur 20-an. Sifat pendiam Ariffin membuat mereka lebih tertarik kepadanya...
Julia kerisauan. Dia tidak tahu jika Ariffin akan menepati janjinya. Puan Tan yang menjadi tenaga mengajar untuk kelas Business Law itu mula membahagi-bahagikan kertas soalan peperiksaan kepada pelajar-pelajarnya. Sebaik sahaja Julia mendapatkan kerja soalannya, dia terus melihat soalan-soalan objektif yang ada. Dia rasa mahu pitam. Dia tidak dapat memahami apa yang disoal, inikan pula menjawabnya. Sekali lagi dia memandang ke arah Ariffin. Dia mendapati Ariffin terus membongkok untuk menjawab soalan-soalan yang diterimanya.
Julia mengeluh. Dia dapat merasakan dia akan gagal lagi. Dia mungkin tidak akan mampu menghadapi bapanya jika dia gagal dalam peperiksaannya kali ini...
*
Dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester
Julia melihat papan tanda di sebelah kelas tutorialnya. Nama pelajar dan keputusan ujian subjek Business Law ada dipaparkan di sana. Beberapa orang pelajar mengerumuni papan tanda tersebut. Ada yang tersenyum dan ada pula yang nampak sedih. Julia dengan takuttakut untuk melihat sendiri keputusan ujiannya. Tetapi dia tetap memberanikan dirinya untuk mengetahui keputusannya. Wajah Julia pucat. Dia dapat melihat namanya berada di dalam senarai tercorot untuk ujian tersebut.
Julia berdiri kaku buat seketika. Dia dapat merasakan dirinya sukar untuk bernafas. Dia mahu menangis. Ini merupakan kali kedua dia mengambil subjek yang sama kerana pada semester lepas dia pernah gagal dalam subjek ini. Julia tidak mahu gagal kerana dia dia tidak mahu mengecewakan bapanya.
Julia sekali lagi memeriksa senarai tersebut untuk memastikan dia tidak bermimpi. Tetapi di dapatinya bahawa sememangnya dia gagal dalam ujiannya yang lalu.
Name: kinkygenki Home: Dairy, Sana'a, Yemen About Me: Biar Hitam Gigi Jangan Hitam Hati... Birthday : saturday, 4 rabiu awal 1409 Hijrah, Masihi Cari sendiri le... Sekarang ni masih bujang empat lagi See my complete profile
Post a Comment